BAB 10 : Cabaran Profesionalisme Keguruan
10.1 Isu dan Cabaran Profesionalisme Keguruan
Guru Permulaan
Guru permulaan ialah guru baru yang dilatih di Institusi Pendidikan Guru dengan kursus perguruan yang telah ditentukan. Mengikut pekeliling perkhidmatan KPM Bil: 1/1987, guru permulaan didefinisikan sebagai guru baru yang terlatih dan berkhidmat antara 1-3 tahun dalam tempoh percubaan dan belum disahkan lagi dalam jawatan. Guru permulaan yang baik ialah guru baru yang mempunyai etika kepimpinan yang berkualiti dalam pengajaran, pembelajaran, kepimpinan, perlakuan dan personaliti.
Ciri-ciri Guru Permulaan
- Memahami isi kandungan mata pelajaran/ opsyen
- Memahami perkembangan pembelajaran pelajar
- Memahami konsep kepelbagian pelajar
- Memiliki kemahiran berkomunikasi yang berkesan
- Merancang pengajaran (sebelum, semasa dan selepas mengajar)
- Mempunyai strategi pengajaran
- Mempunyai kemahiran untuk menilai dan mentaksir pelajar
- Meningkatkan pembelajaran berterusan
- Mengaplikasikan teknologi dalam pendidikan
- Berpengetahuan tentang isu etika dan moral
Guru permulaan harus peka dan sentiasa mendapat maklumat tentang pelbagai aspek. Bermula daripada maklumat murid, maklumat yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran seperti kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pusat sumber hinggalah maklumat berkaitan pengurusan pentadbiran seperti takwim sekolah dan sebagainya. Maklumat ini akan dapat membantu guru tersebut dalam proses perancangan pengajaran serta proses peningkatan profesionalisme. Guru permulaan juga akan sentiasa di bawah pengawasan dan pemantauan pihak sekolah, PPD dan JPN. Oleh itu, guru permulaan seharusnya menunjukkan prestasi yang baik, sentiasa bersikap positif tanpa banyak membuat rungutan serta bersedia membuat transformasi diri ke arah mewujudkan sistem pendidikan yang mantap, berkualiti serta bertaraf dunia.
Sebagai guru permulaan haruslah mempunyai kepelbagaian idea yang bukan sahaja dilihat dari aspek isi pengajaran atau perancangan, bahkan juga dari aspek pedagogi dan sistem penyampaian. Seorang guru terutamanya bagi mereka yang baharu memulakan bidang perguruan harus mempunyai beberapa kemahiran sebagai nilai tambah dalam proses menghasilkan pengajaran yang berkesan. Guru permulaan juga harus mewujudkan keseronokan dan keceriaan belajar di kalangan murid.
Ulasan
Catat Ulasan