BAB 10 : Cabaran Profesionalisme Keguruan

10.1 Isu dan Cabaran Profesionalisme Keguruan

    Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)

Sumber : Harian Metro

     Penggunaan teknologi maklumat dalam kehidupan kini telah menjadi suatu yang penting dan sangat memerlukan. Teknologi maklumat juga dapat membantu manusia memudahkan melakukan sesuatu perkara dalam kehidupan seharian. Penggunaan teknologi pada abad ke-21 ini semakin meluas sama ada dalam bidang perniagaan, pembangunan malah kini yang menjadi tumpuan adalah penggunaan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan. Kerajaan kini memandang serius dan mengambil berat berkenaan pengintegrasian teknologi maklumat dalam pendidikan melalui mata pelajaran yang diajar. Dengan penggunaan teknologi maklumat secara menyeluruh mampu meningkatkan tahap kemahiran pelajar-pelajar untuk mendapat maklumat dengan berkesan. Hjetland (1995) menyatakan bahawa “Technology can make our lives easier. Everyday tasks are simplified”. Beliau juga menyatakan bagaimana teknologi dapat mempermudahkan tugas serta meningkatkan prestasi guru seperti penggunaan teknologi untuk kerja-kerja pengurusan dan kerja-kerja pengajaran pembelajaran. Menurut Ahmad Fuad (2003), menyatakan bahawa dalam konteks pendidikan, teknologi maklumat merupakan satu rangkaian elektronik untuk mencari, mengumpul, menyimpan, memproses, menyalur dan menyampai maklumat secara efektif, pantas dan banyak untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan itu juga, kejayaan ICT dalam pendidikan khususnya bukan hanya terletak pada teknologi tetapi juga melibakan faktor lain seperti pendekatan pedagogi, subjek yang diajar, jenis pelajar, tahap pencapaian pelajar, keperluan pelajar, guru dan persekitaran bilik darjah. Pendekatan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran membolehkan bilik darjah bertemu dengan dunia nyata serta membolehkan pelajar-pelajar meneroka mencari maklumat. 

Cabaran Guru Dalam Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)

  • Tahap penguasaan kemahiran guru mengendalikan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran
   Penggunaan bahan teknologi maklumat dalam pendidikan khususnya dari segi pengajaran dan pembelajaran  kini telah menjadi satu perkara yang penting bagi guru-guru. Penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran mampu meningkatkan kefahaman para pelajar dengan lebih baik. Hal ini dapat kita perhatikan bahawa, pembelajaran dari segi pencarian maklumat dan bahan-bahan terkini dalam sesuatu topik dapat dilakukan oleh murid-murid dengan menggunakan alat teknologi maklumat seperti melalui komputer, internet dan sebagainya. 
   Penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan kemahiran seseorang guru untuk mengendalikannya. Oleh yang demikian, pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa di sekolah rendah dan sekolah menengah mempunyai beberapa kekangan yang perlu di ambil berat iaitu kekurangan guru terlatih dalam bidang teknologi maklumat. Guru-guru yang telah lama mengajar kurang berpengalaman dan pendedahan dengan penggunaan ICT. Justeru itu, guru tidak mahir untuk membuat perancangan pengajaran berdasarkan ICT. Perkara sedemikian menyebabkan timbul permasalahan di mana pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Hal ini akan membantut perkembangan penggunaan bahan teknologi maklumat khususnya kepada murid-murid.

  • Kemudahan teknologi tidak mencukupi di sekolah 
    Proses pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran memerlukan prasarana yang mencukupi seperti kemudahan makmal komputer, peralatan berkaitan dengan penggunaan teknologi maklumat, serta penyediaan dan penyelenggaraan komputer yang mencukupi dan lancar. Sistem penyelenggaraan bahan teknologi maklumat di sekolah yang tidak cekap menjadi salah satu punca permasalahan pengintegrasiaan ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Sehubungan itu juga, peruntukan kewangan yang lambat serta tidak mencukupi untuk proses penyediaan kemudahan teknologi maklumat di sekolah- sekolah tertentu menjadi salah satu punca timbulnya permasalahan dalam proses pengintegrasian . Komputer yang digunakan di sekolah juga sering rosak dan ketinggalan dari segi kapasiti dan teknologi. Di samping itu, terdapat kekangan dari segi sistem selenggaraan komputer yang tidak cekap di sekolah. Masalah bilik komputer juga sering mengganggu kelancaran penggunaan komputer dalam pengajaran. Terdapat guru bahasa yang tidak dapat menggunakan bilik komputer kerana sering digunakan oleh kumpulan murid lain. 

  • Penerimaan teknologi oleh murid
      Penggunaan teknologi seperti komputer dalam pengajaran dapat menarik minat murid terhadap pembelajaran. Walau bagaimanapun, murid yang pandai lebih berminat dalam pengajaran apabila guru menggunakan komputer di dalam pengajarannya. Bagi pelajar yang lemah pula, mereka kurang menunjukkan minat dalam pembelajaran walaupun guru menggunakan komputer. Dalam hal ini, pembinaan dan penggunaan bahan pembelajaran perlu lebih menekankan aspek multimedia dan interaktif bagi memberikan kesan yang lebih kepada murid-murid. Murid - murid juga berminat jika menggunakan bahan internet di dalam pengajaran. 


Rujukan

Ahmad Fuad Othman. 2003. Pendidik dan pendidikan di era digital: Pendekatan dan  cabarannya. Wawasan: Pusat Sumber Pendidikan Negeri Kedah. Bil. 17. Jun.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PJMS3013 Latihan Kecergasan Fizikal - Periodisasi Latihan (Tugasan 2)