BAB 10 : Cabaran Profesionalisme Keguruan
10.1 Isu dan Cabaran Profesionalisme Keguruan
Kecekapan Guru Bimbingan dan Kaunseling
Guru kaunseling atau pun dikenali sebagai kaunselor di sekolah mempunyai bidang tugas yang berbeza berbanding dengan guru biasa. Kaunselor di sekolah berperanan besar dalam agenda pendidikan negara. Kaunselor sekolah dilihat sebagai salah satu agen utama dalam melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang dan harmonis seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara. Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan banyak masalah disiplin yang melanda pelajar sekolah contohya seperti masalah buli yang membawa maut, masalah-masalah sosial seperti lepak, seks bebas dan banyak lagi masalah yang berlaku semakin berleluasa di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Oleh itu, perkhidmatan kaunselor di sekolah amatlah diperlukan kerana bersesuaian dengan perubahan hidup yang dialami oleh pelajar sekolah iaitu mengalami perubahan dari zaman kanak-kanak ke alam dewasa dan ini memerlukan seseorang pembimbing dalam meneruskan kehidupan agar tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak bermoral. Menurut Muhd Mansur Abdullah & S. Nordinar Mohd Tamin (2010), murid-murid dikatakan berada di alam remaja. Mereka berada dalam alam peralihan dari zaman kanak-kanak ke alam dewasa. Alam remaja memang banyak pancarobanya. Oleh sebab itu, kaunselor di sekolah rendah dan menengah wajib mengambil langkah yang wajar bagi membimbing para remaja ke jalan yang benar.
Pernanan utama guru kaunseling ialah memberi perkhidmatan kaunseling kepada para pelajar. Perkhidmatan kaunseling ini dilakukan dengan kerelaan pelajar tersebut atau akan dibawa oleh guru-guru lain ke bilik kaunseling. Pelajar tersebut dikira sebagai klien dan guru kaunseling merupakan kaunselor. Sudah menjadi kebiasaan yang dibawa ke bilik kaunseling itu merupakan pelajar-pelajar yang bermasalah disiplin contohnya seperti merokok, ponteng, buli dan sebagainya. Apabila perkara ini tidak dibendung dari awal maka perkara ini akan boleh membawa kepada satu tahap yang lebih bahaya yang boleh merosakkan kehidupan pelajar. Kaunselor sekolah perlu menyelesaikan masalah dalam sesi kaunseling. Dalam memberi perkhidmatan kaunseling, kaunselor perlu mengamalkan prinsip-prinsip kaunseling iaitu manusia mempunyai harga diri, manusia itu unik, manusia yang memiliki personaliti yang bersepadu juga mempunyai personaliti yang sihat, manusia yang cenderung ke arah kesempurnaan kendiri dan manusia berkembang melalui proses sosialisasi.
RUJUKAN
Muhamad Mansur Abdullah, & S. Nordinar Mohd. Tamin. (2010). Proses kaunseling (3rd ed.).
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ulasan
Catat Ulasan